SEKADAR BERKONGSI PENGALAMAN,, ILMU YANG CETEK INI SEBAGAI USAHA KECIL UNTUK MENGAJAK KPD KEBAIKAN.. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT YANG BERGUNA DI SINI DAN MENGGAPAI REDHA ALLAH.. DENGAN IZIN-NYA..

Monday, November 29, 2010

Fikir...

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, saya masih berpeluang menarikan jari-jemari ini berkongsi serba sedikit ilmu yang cetek ini. Saya teringat satu peristiwa yang menyedarkan saya tentang fikir. Saya kurang ingat bila peristiwa ini berlaku antara saya wa jaddatiii.

Suatu hari, saya melihat nenek saya termenung. Saya menegurnya.

Saya : Dok termenung apa tok?
Tok : Tok dok fikir.
Saya : Dok fikir apa tok?
Tok : Amboi, fikir la, takkan sampai tak boleh fikir! Hidup ni kena la fikir.

Mendengar kata-kata jaddatii, saya terdiam seketika. Berfikir sejenak. Memang benar kata nenek. Hidup ini menuntut kita untuk berfikir. Fikir tentang kematian, belajar, penyelesaian Matematik, kewangan keluarga dan banyak lagi yang perlu difikir dalam kehidupan ini. Mari kita lihat firman Allah S.W.T. tentang fikir.

Kalau sekiranya Kami menurunkan al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpaan-perumpaan ini Kami buat untuk manusia supaya mereka BERFIKIR.
Surah al-Hasyr, juzuk 28, ayat 21.

Allah mengurniakan manusia akal untuk berfikir. Amatlah berbeza antara manusia dan haiwan. Haiwan tidak dikurniakan akal seperti manusia. Berfikir sebelum melakukan sebarang tindakan. Jangan bertindak sebelum berfikir. Kelak nanti menyesal tiada guna. "Ya Allah, aku mohon kepada-Mu agar engkau kurniakan kepadaku akal yang sentiasa mahu berfikir kerana-Mu."

Akal sering dikaitkan dengan kecerdasan otak, kecerdasan minda. Orang selalu kata otak jika tidak digunakan untuk berfikir, otak akan berkarat. Saya dapat rasakan kepantasan untuk mengira Matematik agak lambat kerana sering menggunakan mesin kira walaupun hanya angka yang kecil sahaja. Saya lebih suka mengira secara 'manual' daripada menggunakan kemudahan itu. Hal ini dapat membantu saya bermain dengan akal untuk berfikir.

Situasi yang sama berlaku apabila saya malas untuk berfikir tentang apa yang saya lihat. Sebagai contoh, apabila saya melihat sesebuah kereta yang menarik hati saya, saya akan kata indahnya ciptaan manusia itu. Kemudian saya berfikir lagi dengan mengatakan indahnya ciptaan Allah yang menciptakan otak manusia yang mampu mencipta sebuah kenderaan yang dapat bergerak.

Kereta~Manusia~Allah

Dan banyak lagi ciptaan manusia yang mampu kita fikir. Semuanya akan berbalik kepada Allah yang Maha Mencipta. Namun, ada perkara yang tidak terjangkau dek akal fikiran manusia yang lemah ini. Perkara-perkara sam'iyyat yang tidak dapat dicapai pleh pancaindera dan hanya boleh diketahui daripada al-Quran dan al-Hadis.

Fikir. Fikir tentang dosa dan noda yang pernah kita lakukan agar menjadi iktibar buat insan kerdil ini. Fikir untuk berubah dari jahat kepada baik. Daripada jahil kepada 'alim. Daripada miskin ibadah kepada kaya ibadah. Dan kita perlu berfikir untuk menjadi insan yang hari ini lebih baik daripada semalam, esok lebih baik daripada hari ini. Insya-Allah.