SEKADAR BERKONGSI PENGALAMAN,, ILMU YANG CETEK INI SEBAGAI USAHA KECIL UNTUK MENGAJAK KPD KEBAIKAN.. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT YANG BERGUNA DI SINI DAN MENGGAPAI REDHA ALLAH.. DENGAN IZIN-NYA..

Thursday, December 30, 2010

An-Najaah

Assalamualaikum.

Entah mengapa saya kurang bersemangat untuk terus menulis, berkongsi, menyebarkan ilmu-ilmu Allah di sini. Betul kata ukhtii Raihana, 'hilang semangat'... "Ya Allah, berikanlah aku kekuatan untuk terus meniti di jalan dakwah ini sebagai salah satu saham untuk menuju syurga-Mu..."Tahun 2010 akan melabuhkan tirai, membuka lembaran baru tahun 2011.

Tinggal beberapa hari saja lagi cuti persekolahan akan berakhir. Maka bermulalah kembali era perjuangan saya memburu kejayaan. Hadirnya saya ke sekolah pada tahun 2011 ini membawa satu misi yang canggih, yang lebih hebat, yang lebih besar iaitu untuk mencapai kecemerlangan dalam SPM. Alhamdulillah, keputusan PMR telah pun saya ketahui. Kini, fokus saya untuk SPM pula. Usaha yang lebih berganda diperlukan kerana hanya ada tempoh 2 tahun saja untuk 'pulun'. Alhamdulillah, cuti hari itu saya isi dengan menghadiri tuisyen intensif Matematik dan Matematik Tambahan walaupun diri ini masih mahu dimanjakan dek kerana usai PMR.

Belajar tetap belajar. Tuntutan agama tidak boleh diabaikan malah menuntut ilmu juga merupakan salah satu ibadah umum jika ikhlas belajar kerana Allah. Belajar untuk menjadi hamba yang bertakwa kepada Allah. Belajar untuk menjadi umat Rasulullah yang bijak. Belajar untuk menjadi anak yang membalas jasa kedua-dua ibu dan ayah.

Saya cuba memuat naik video tetapi lambat sedikit. Tiba-tiba sahaja hati ini pilu mengenangkan junjungan Rasulullah S.A.W. Teringin benar hati ini melihat wajah kekasih Allah itu. Teringin benar diri yang jahil ini berbincang mengenai deen Allah. Teringin benar diri ini merungkaikan permasalahan, khilaf-khilaf, bid'ah-bid'ah yang mengelirukan pada masa ini. Alangkah malunya tatkala diri ini bertemu dengan baginda kelak. Layakkah diri yang kerdil ini mendapat syafaat daripada junjungan mulia itu??? "Ya Allah, ampunkan hamba-Mu ini andai kulalai mengingati-Mu, ya Allah. Ya Allah, ampunkan hamba-Mu kerana membiarkan kemaksiatan terus berleluasa di muka bumi-Mu ini, ya Allah. Berikanlah kekuatan kepada kami untuk melaksanakan amar ma'ruf nahi munkar."

Saya berazam untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar menjadi srikandi agama. Walaupun diri ini tidak seperti Saidatina Khadijah yang sanggup mengorbankan harta demi agama, tidak seperti Khawlah Al-Azwar yang menjadi pejuang Islam, namun saya yakin, saya dan srikandi-srikandi di luar sana mampu bangkit menolong deen Allah.

Saya berharap kejayaan, kesenangan, kesihatan, kemewahan yang saya kecapi kini bukan menjadi penjarak antara diri yang dicipta dengan yang Maha Mencipta. Akan saya belajar,mengamalkan ilmu yang dipelajari. Saya memerlukan pertolongan dan kekuatan daripada Allah untuk melawan segala godaan syaitan yang membawa kepada kerugian dan kebinasaan. Saya juga memerlukan sahabat-sahabat yang mengingatkan saya tatkala diri ini lupa, yang memberikan semangat tatkala diri ini lemah. Sahabat-sahabat yang setia meniti di jalan dakwah ini bersama-sama. Walaupun tidak ssesetia Saidina Abu Bakar. Semoga kita mendapat An-Najah yang bukan berbentuk duniawi semata-mata, malah ukhrowi tetap kita miliki. Insya-Allah.