SEKADAR BERKONGSI PENGALAMAN,, ILMU YANG CETEK INI SEBAGAI USAHA KECIL UNTUK MENGAJAK KPD KEBAIKAN.. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT YANG BERGUNA DI SINI DAN MENGGAPAI REDHA ALLAH.. DENGAN IZIN-NYA..

Friday, July 22, 2011

Dalam Suka Ada Duka.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana masih dapat melakar tinta di sini, walaupun sudah lama tidak merakamkan warkah berharga untuk manfaat bersama. Hampir lima purnama saya tidak meluangkan masa untuk terus menyebarkan panji-panji dakwah walaupun hanya sedikit. Mungkin kerana kesibukan mengejar cita-cita duniawi atau ukhrawi namun, hanya Allah sahaja yang tahu sejauh mana keihklasan dan kesibukan hamba-Nya di jalan Allah. Sepanjang tempoh enam bulan saya sepi daripada penulisan ini, pelbagai peristiwa yang berlaku di mana semuanya adalah ketentuan daripada Allah yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu. Coretan saya pada kali ini, ingin saya kongsikan serba sedikit aktiviti/peristiwa/perkara yang berlaku selama enam bulan ini. Insya-Allah.

6 April 2011 (RABU):

Pada hari ini, Pasukan Bahas Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan), Kangar akan bertemu dengan Pasukan Bahas SMK Syed Sirajuddin. Setelah mengadakan undian, pasukan bahas sekolah saya mendapat pembangkang. Saya selaku ketua pembangkang dan 2 orang lagi ahli parlimen yang lain akan membangkang usul yang dibawa oleh kerajaan iaitu "Program Realiti Televisyen Perlu Diteruskan". Lebih kurang 1 jam kami bersidang, akhirnya usul pada hari itu ditolak dan kemenangan berpihak kepada sekolah kami. Alhamdulillah. Pasukan Bahas SMKA(P), Kangar layak ke suku akhir.

11 April 2011 (ISNIN):

Pada hari ini, Pasukan Bahas Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan), Kangar akan bertemu dengan Pasukan Bahas SMK Padang Behor di peringkat suku akhir. Setelah undian diadakan, sekali lagi pasukan bahas sekolah saya mendapat pembangkang. Saya selaku ketua pembangkang dan 2 orang lagi ahli parlimen yang lain akan membangkang usul yang dibawa oleh kerajaan iaitu "Laman Sesawang Sosial Menjana Minda Masyarakat". Lebih kurang 1 jam kami bersidang, akhirnya usul pada hari itu ditolak dan sekali lagi kemenangan berpihak kepada sekolah kami. Alhamdulillah. Pasukan Bahas SMKA(P), Kangar layak ke separuh akhir.

16 April 2011 (SABTU):

Pada hari ini, Majlis Tadarus al-Quran (MTQ) Peringkat Negeri Perlis diadakan di SMK Putra, Perlis. Saya telah menyertai MTQ dalam acara syarahan agama perempuan. Alhamdulillah, saya mendapat tempat pertama dalam acara tersebut. Saya telah menyampaikan syarahan teks yang bertajuk "Iman dan Takwa Asas Kecemerlangan Ummah". Manakala syarahan spontan saya bertajuk "Tanggungjawab Seorang Pelajar".Dalam syarahan spontan, saya perlu memberikan definisi tajuk, 3 hujah yang disertakan dalil-dalil naqli dan juga isu semasa atau statistik terkini. Alhamdulillah, saya mampu menyampaikannya dengan baik. Namun, untuk menjadi penyampai syarahan yang cemerlang dan hebat, seseorang itu mestilah luas pengetahuannya dalam pelbagai bidang sama ada politik, ekonomi, sosial, kemasyarakatan dan sebagainya. Tempat kedua pula menjadi milik sodiiqotii, Siti Nur Syuhada Binti Ja'affar. Dan beliaulah akan menggantikan saya mewakili negeri Perlis ke Pulau Pinang untuk MTQ Peringkat Kebangsaan. Hal ini adalah disebabkan atas ketentuan Allah yang tidak mengizinkan saya mewakili negeri Perlis ke Pulau Pinang, sebaliknya pergi ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah menjadi rezeki saya. Alhamdulillah.

18 April 2011 (ISNIN):

Pada hari ini, Pasukan Bahas Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan), Kangar akan bertemu dengan tuan rumah, iaitu SMK Syed Hassan. Setelah mengadakan undian, pasukan bahas sekolah saya mendapat pembangkang. Saya selaku ketua pembangkang dan 2 orang lagi ahli parlimen akan membangkang usul yang dibawa oleh pihak kerajaan iaitu "Media Berperanan Membentuk Jati Diri Remaja". Lebih kurang satu jam bersidang, akhirnya usul diterima dan kemenangan berpihak kepada pihak kerajaan iaitu SMK Syed Hassan. Tahniah kepada mereka kerana layak ke peringkat akhir. Walau bagaimanapun, kami bersyukur kerana layak ke separuh akhir dan kalah bermaruah.

21 April 2011-24 April 2011 (KHAMIS-AHAD):

Dalam tempoh ini, saya ke SMKA Durian Guling, Marang, Terengganu bagi menyertai Nadwah Kepemimpinan Pelajar SMKA Kali Ke-2. Melalui nadwah tersebut, pengisian program tersebut memberi semangat kepada saya wa sodiiqootii untuk menjadi pemimpin yang cemerlang bukan sahaja di sekolah, malah di negara dan tidak mustahil juga pemimpin di peringkat global. Insya-Allah. Namun, latihan yang diberikan kepada kami selama 4 hari 3 malam tidak cukup untuk menjadikan kami pemimpin yang hebat. Tetapi, latihan sifat kepimpinan dalam diri mestilah sentiasa dipupuk dan diasah setiap masa agar diri kita menjadi seorang pemimpin yang amanah, bertanggungjawab suatu hari nanti. Pepatah Cina ada mengatakan bahawa "Pemimpin yang hebat ialah rakyatnya tidak berasakan kewujudannya, tetapi rakyatnya akan berasakan ketiadaannya". Teringat pula saya kepada zaman pemerintahan Rasulullah dan Khalifah Umar al-Aziz. Peristiwa yang menunjukkan sikap kesederhanaan Rasulullah di mana baginda hanya tidur beralaskan pelepah kurma. Seorang kekasih Allah yang agung. Cuba kita sama-sama muhasabah diri, adakah kita seorang pemimpin yang hebat atau sekadar pemimpin yang hanya menindas rakyat???

25 April 2011 (ISNIN):

Hari ini ialah Pertandingan Akhir Bahas Bahasa Melayu Peringkat Zon Utara. Sekolah kami turut dijemput untuk menyaksikan pertandingan akhir tersebut. Pasukan yang akan bersidang ialah SMK Syed Hassan dan SMK Tengku Fauziah. Saya tidak ingat apakah usul yang mereka bentangkan, tetapi yang pasti berkaitan dengan satu Malaysia dan usul ini lebih memihak kepada pihak kerajaan dari segi isinya. SMK Tengku Fauziah mewakili kerajaan dan SMK Syed Hassan mewakili pembangkang. Lebih kurang 1 jam mereka bersidang, akhirnya usul ditolak dan kemenangan menjadi milik SMK Syed Hassan. Pasukan sekolah mereka akan bertemu SMK Syed Ahmad di peringkat negeri untuk memilih pasukan yang akan mewakili negeri Perlis ke peringkat kebangsaan.

20 Mei 2011-22 Mei 2011 (SABTU-AHAD):

Dalam tempoh ini, saya menjalani latihan berpusat untuk menghadapi Pertandingan Debat Bahasa Arab Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 di Pusat Latihan Alor Tampang, Beseri, Perlis. Ketika latihan, saya wa sodiiqootii banyak berkomunikasi dalam bahasa Arab. Tambahan pula, faktor persekitaran mendorong kami untuk berbahasa Arab kerana ustaz dan ustazah berbahasa Arab. 10 tajuk akan diperdebatkan di parlimen nanti iaitu akan diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia. Sementara ustaz dan ustazah menyediakan teks, kami cuba melancarkan muqoddimah munazhoroh. Walau bagaimanapun, latihan selama 3 hari 2 malam itu belum cukup sebenarnya.

26 Mei 2011 (KHAMIS):

Pada hari ini, sekolah saya mengadakan sambutan hari guru peringkat sekolah. Meriah juga tahun ini. Saya turut menyumbang sesuatu dengan mengadakan persembahan nyanyian lagu "Guru Sejati" di mana mengambil lirik daripada lagu "Teman Sejati". Walau bagaimanapun, terima kasih kepada guru-guru saya di Tadika Hal Ehwal Islam, Kepala Batas Sanglang, Perlis, Sekolah Agama al-Islahiyah (Rendah), Behor Mali, Simpang Empat, Perlis dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan), Kangar, Perlis. Sesungguhnya, guru-guru ini bukanlah hanya dikenang pada 16 Mei sahaja, tetapi mestilah sentiasa diingati jasa mereka.

27 Mei 2011-10 Jun 2011 (JUMAAT-JUMAAT):

Dalam tempoh ini, Allah mengizinkan saya menjadi tetamu-Nya kerana dapat mengunjungi al-Haramain iaitu Makkah al-Mukarromah dan Madinah al-Munawwaroh. Saya ke sana bersama dengan mak dan abang Zaki. Kami berkunjung ke Madinah al-Munawwaroh terlebih dahulu sebelum bertolak ke Makkah al- Mukarromah. Di Madinah, majoriti muslimin di sini akan menunaikan solat berjemaah di Masjid an-Nabawi. Di masjid ini jugalah, kekasih Allah dimakamkan iaitu di rumah baginda sendiri. Lebih kurang 4 malam berada di Madinah, kami bertolak ke Makkah al-Mukarromah untuk menunaikan umrah dan bermiqat di Biir 'Ali. Sejurus tiba di Makkah pada jam 11.00 malam (waktu tempatan), kami terus menuju ke Baitullah al-Haram untuk menunaikan 'umrah iaitu dengan melaksanakan rukun tawaf, saie dan tahallul. Masjid al-Haram tidak pernah sunyi daripada hamba-hamba yang mengabdikan diri kepada Allah. Masing-masing melakukan ibadah-ibadah sunat seperti tawaf, 'iktikaf, membaca al-quran, zikrullah dan sebagainya. Lebih kurang seminggu kami berpeluang beribadah di Masjid al-Haram. Alhamdulillah.

11 Jun 2011 (SABTU):

Setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Saya akan mati dan para pembaca akan mati, namun kita dirahsiakan bilakah kita akan mati. Pada tarikh ini, abah saya yang tersayang, Haji Rosdi bin Haji Shariff (11 November 1963-11 Jun 2011) telah kembali bertemu Penciptanya. Semasa saya menunaikan 'umrah, abah pergi ke China ditemani Pak Long Deen untuk berubat penyakit buah pinggangnya dengan cara melakukan pembedahan buah pinggang. Abah bertekad untuk melakukan pembedahan tersebut. Itulah abah dalam perjuangannya melawan penyakit. Ketika kami selamat tiba ke tanah air dari Arab Saudi, abah bersedia untuk dibedah pada 10 Jun 2011. Alhamdulillah, pembedahan tersebut berjaya. Namun, pada 11 Jun 2011, selepas Zohor, abah mengalami sesak nafas dan kembali bertemu Pencipta. Abah mengalami komplikasi jantung. Kami sekeluarga redha dengan ketentuan-Nya. Kami telah putuskan untuk mengebumikan jenazah di sana. Hal ini adalah disebabkan urusan membawa pulang jenazah memakan masa dan sudah tentunya menyeksa jenazah. Tambahan pula, Rasulullah pernah bersabda bermaksud, di mana matinya seseorang itu, disitulah disemadikan. Jenazah abah selamat disemadikan pada 12 Jun 2011, selepas asar. Itulah perjuangan hidup seorang hamba untuk terus hidup di jalan Allah selama 47 tahun 7 bulan. Al-fatihah untuk arwah abah.


16 Jun 2011-21 Jun 2011 (KHAMIS-SELASA):

Dalam tempoh ini, saya berada di Universiti Sains Islam Malaysia untuk meyertai Pertandingan Debat Bahasa Arab Peringkat Kebangsaan Kali-4. Walaupun masih dalam kesedihan, saya tabahkan juga diri ini untuk saya teruskan perjuangan hidup ini di jalan Allah. Semua peserta yang mewakili 50 pasukan akan bersaing di peringkat saringan iatu sebanyak 6 pusingan sebelum layak ke 16 pasukan terbaik. Alhamdulillah, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan), Kangar, Perlis berjaya memenangi 4 pusingan dan kami layak ke pasukan 16 terbaik dan berada di 'ranking' 14. Dan sekali lagi sekolah kami bertemu dengan SMAP Labu. Kami terpaksa menerima keputusan bahawa kami tidak layak ke suku akhir.Walau bagaimanapun, ini bukanlah cubaan kami yang terakhir. Insya-Allah, pada tahun depan, kami akan bangkit kembali.

23 Jun 2011 (KHAMIS):

Pada tarikh ini merupakan Hari Lahir saya yang ke-16. Terima kasih kepada mak dan arwah abah yang telah membesarkan saya selama ini.Dan saya berdoa kepada Allah agar saya diberi peluang untuk berjasa kepada mak saya yang tersayang dan untuk arwah abah, saya teringat hadis nabi yang bermaksud, apabila mati seseorang anak Adam, tidak ada apa-apa yang dibawanya kecuali tiga, doa anak soleh, ilmu yang dimanfaatkan dan amal jariah. Oleh itu, saya akan berusaha untuk menjadi anak yang solehah, mentaati perintah Allah dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

25 Jun 2011 (SABTU):

Pada tarikh ini, saya mewakili sekolah ke Majlis Ihtifal Institusi Pendidikan Agama (MIIPA) 2011, peringkat negeri di SMKA Arau, Perlis. Saya menyertai acara hafazan iaitu surah al-Baqarah. Saya mendapat johan dalam acara tersebut, namun hakikatnya saya belum habis menghafaznya. Macam mana tu???

12 Julai 2011-14 Julai 2011 (SELASA-KHAMIS):

Sepanjang tempoh ini, saya menjalani latihan berpusat di Kuala Perlis untuk menghadapi MIIPA peringkat kebangsaan yang diadakan di SMKA Kedah. Di situ, saya cuma menghafaz al-Quran. Semoga pekerjaan saya itu adalah kerana Allah.

18 Julai 2011-21 Julai 2011 (ISNIN-KHAMIS):

Pada tarikh ini, saya bermalam di SMKA Kedah sempena MIIPA Peringkat Kebangsaan Kali Pertama. Saya tidak mengharapkan kemenangan kerana saya hanya hafaz setengah sahaja daripada surah al-Baqarah. Namun, pengalaman, ilmu amat penting. Usaha untuk hafaz al-Quran mudah, namun, usaha untuk menjaganya agar tidak hilang di dalam diri, itulah yang susah.

Saya harap coretan saya pada kali ini dapat memberi pengajaran dan sedikit ilmu yang bermanfaat untuk diamalkan. Bukan tujuan saya untuk membangga diri, meraih simpati, sebaliknya hanyalah sekadar berkongsi ilmu yang cetek dan pengalaman agar menjadi teladan, pengajaran supaya menjadi manusia yang sentiasa bertambah keimanan kepada-Nya dari sehari ke sehari. Insya-Allah.