SEKADAR BERKONGSI PENGALAMAN,, ILMU YANG CETEK INI SEBAGAI USAHA KECIL UNTUK MENGAJAK KPD KEBAIKAN.. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT YANG BERGUNA DI SINI DAN MENGGAPAI REDHA ALLAH.. DENGAN IZIN-NYA..

Saturday, January 29, 2011

Kumasih Di Sini...

Assalamualaikum.

Sudah 2 minggu keputusan permohonan ke Sekolah Berasrama Penuh Tingkatan 4 2011 diketahui. Maka, ramailah rakan saya yang mendapat tawaran untuk menyambung pengajian yang berbaki 2 tahun sahaja lagi ke merata tempat di seluruh negara. Ada yang mendapat tawaran ke Kolej Islam Sultan Alam Shah, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Sekolah Berasrama Penuh Integerasi Kubang Pasu, Sekolah Berasrama Penuh Integerasi Gombak, Sekolah Berasrama Penuh Integerasi Kepala Batas, Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu dan juga Maktab Rendah Sains Mara Baling.


Inilah antara srikandi kelahiran SMKAP yang akan berhijrah melebarkan sayap mencari 'ilmu di atas muka bumi Allah yang luas ini ke tempat baru selepas Tahun Baru Cina ini. Maka, tiadalah lagi wajah kalian di bumi waqafan ini. 12 orang semuanya yang keluar meninggalkan SMKAP dengan cara terhormat. Ada yang mendapat tawaran, tetapi bertekad untuk menamatkan alam persekolahan menengah di SMKAP. Tahniah kepada kalian. Pada hari Jumaat baru-baru ini, kami bersalam-salaman antara satu sama lain. Walaupun mereka tidak sesetia Saidina Abu Bakar yang mempertaruhkan nyawa demi Rasulullah, namun atas dasar ukhuwwah yang dibina selama 3 tahun, mengalir juga air mata ini. Kita pernah ketawa bersama-sama dan menangis bersama-sama. Kalian ialah rakan-rakan yang baik.

Bagaimana pula dengan saya??? Saya masih di sini. Di bumi waqafan ini. Akan berusaha untuk menjaga nama baik sekolah, mengharumkan nama sekolah, membantu guru-guru mensifarkan masalah disiplin sekolah. Saya tidak menerima sebarang tawaran untuk ke SBP. Dan saya yakin, keputusan itu adalah keputusan yang sangat adil daripada Allah S.W.T. walaupun saya ingin merasai suasana pembelajaran di tempat baru. Ada hikmah Pencipta mengekalkan saya di sini. Alhamdulillah.

Pada hari Rabu yang lalu, Majlis Pentauliahan Majlis Kepimpinan Pelajar dan Majlis Kepimpinan Asrama telah diadakan. Perasaan takut menyelubungi diri saya. Takut tidak dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik seperti apa yang diikrarkan. Mengapa ada antara pelajar yang dilantik menjadi pengawas gembira??? Bukankah tergalas di bahu kita satu amanah yang wajib dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh??? Hati ini sebak, sayu dan mengalir manik-manik jernih di pipi tatkala Al-Mu'allim Idris bin Ahmad membacakan doa penutup majlis. Begitu tinggi harapan sekolah agar MKP dan MKA dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberi dengan jayanya di samping tidak mengabaikan pelajaran. "Ya Allah, berikanlah kami kekuatan agar kami dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan ikhlas kerana Engkau semata-mata. Janganlah Engkau jadikan kami angkuh, sombong, bangga dengan jawatan yang kami ada. Bantulah kami dalam menegakkan yang benar dan yang salah tetap salah. Hindarkan kami daripada bersubahat dengan kebatilan." Perkenankanlah Ya Allah.

Saya fikir setakat inilah saja coretan pada kali ini. Saya mengucapkan selamat belajar di tempat baru kepada 12 orang rakan saya yang di atas dan mengucapkan tahniah kerana kalian ialah insan yang dipilih oleh Allah untuk belajar di tempat yang lebih baik. Erm.., mungkin lebih baik dari segi infrastrukturnya, suasananya, akhlaknya dan lain-lain lagi. Walau bagaimanapun, saya wa sodiiqootii di sini sentiasa mendoakan agar kalian berjaya di dunia dan akhirat. Semoga sinar kalian menyerlah di sana. Insya-Allah.

Friday, January 14, 2011

Jihadku...

Assalamualaikum.

Sudah dua minggu sekolah dibuka. Maka sudah dua minggu saya kembali menjalankan tugas saya sebagai seorang pelajar. Menggalas amanah mak dan abah supaya belajar. Minggu pertama pelajar tingkatan 4 belum diagihkan dengan buku teks lagi... Ermm.. Mungkin sibuk dengan orientasi pelajar tingkatan 1. Walau bagaimanapun, pada hari Isnin minggu kedua, buku teks telah berada di tangan. Alhamdulillah.

Saya wa sodiiqootii telah mula belajar. 11 subjek semuanya+2= 13. Yang 2 tu, PJK dan Sivik. Biology, Chemisty, Physics, Pendidikan Syariah Islamiyah, Al-Quran dan As-Sunnah, Additional Mathematics antara subjek yang baru saya jumpa di tingkatan 4. Ermm.. Agak-agak susah ka mudah??? Susah??? Mudah??? Pada pendapat saya, susah jika kita ambil mudah. Manakala sesuatu pelajaran itu akan menjadi mudah jika kita ambil susah (ambil berat).

Pada catatan kali ini, saya ingin berkongsi sedikit 'ilmu. Chemistry??? Physics??? Biology??? Bukan, tetapi 'ilmu yang lebih luas daripada itu iaitu 'ilmu Allah S.W.T. Mari kita lihat firman Allah tentang 'ilmu:

"Katakanlah: Kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis ditulis kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)."
Surah Al-Kahfi, surah ke-18, ayat 109.


"Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya, nescaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat Allah. Sesungguhnya, Allah Maha perkasa lagi Maha Bijaksana."
Surah Luqman, surah ke-31, ayat 27.

Melihat dan merenung kepada kedua-dua ayat al-Quran di atas, kita boleh simpulkan bahawa luasnya 'ilmu Allah tidak terhingga. 'Ilmu kita??? Hanya sedikit daripada 'ilmu yang Maha Bijaksana. Apabila saya belajar Biology, terasa kecil sangat diri ini di hadapan Allah. Betapa halusnya ciptaan Allah sehinggakan tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Dalam sel manusia itu sendiri, ada lagi sel-selnya yang kecil yang mempunyai fungsi-fungsi mereka. Itulah amanah yang Allah berikan kepada sel untuk menggerakkan tubuh manusia, melancarkan pernafasan dan sebagainya.

Persoalannya, adakah saya sudah cukup hebat untuk bangga diri di muka bumi ini sebagai orang yang ber'ilmu??? Adakah jurutera-jurutera, doktor-doktor, peguam-peguam, saintis-saintis di luar sana boleh mengatakan bahawa 'ilmu mereka telah cukup dan sudah tinggi??? Jawapannya, sudah semestinya TIDAK. Penyakit bagi orang yang ber'ilmu ialah bangga dengan 'ilmunya. Na'udzu billahi min dzaalik. Masih terlalu banyak lagi 'ilmu Allah yang belum dipelajari, diterokai.

Berbalik kepada jihad saya dalam menuntut 'ilmu. Saya dan rakan-rakan di luar sana perlu mujahadah dalam mencari 'ilmu Allah. Kerana apa??? Kerana syaitan dan nafsulah yang akan menjadi pengganggu. Berdoalah kepada Allah agar diberi kekuatan untuk belajar kerana-Nya. Niat mestilah tepat kerana Allah, ingin membantu deen Allah. Niat hanya kerana peperiksaan tidak membawa diri ini ke mana-mana. Selepas tamat persekolahan, 'ilmu hilang begitu sahaja. "Ya Allah, aku mohon kepada-Mu agar diberikan kekuatan dalam jihadku menuntut 'ilmu, jadikanlah usahaku ketika belajar hanyalah kerana-Mu dan agama-Mu dan janganlah kerana yang lain." Ameen ya rabbal 'aalameen.

Pesan saya buat diri yang lemah ini dan saudara-saudara seagama saya, agar berusahalah berjihad menuntut 'ilmu kerana Allah. Semoga kita dapat bersama-sama bangkit menolong deen yang suci ini seterusnya tercatat sebagai para syuhada' di sisi Allah S.W.T. Insya-Allah.